1 Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abia menjadi raja di Yehuda.
2 Raja Abia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bonda baginda ialah Mikhaya anak Uriel dari Gibea.Apabila peperangan berlaku antara Raja Abia dan Raja Yerobeam,
3 Raja Abia mengerahkan tentera sebanyak 400,000 orang, dan Raja Yerobeam melawan baginda dengan tentera sebanyak 800,000 orang.
4 Kedua-dua pasukan tentera itu berhadapan di perbukitan Efraim. Raja Abia naik ke Gunung Zemaraim lalu berseru kepada Raja Yerobeam dan tentera Israel, “Dengarlah!
5 Kamu tahu bahawa TUHAN Allah Israel telah membuat satu perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunannya akan memerintah Israel selama-lamanya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.
6 Yerobeam anak Nebat telah memberontak terhadap rajanya, Raja Salomo.
7 Kemudian dia mengumpulkan beberapa orang penjahat dan mengalahkan Raja Rehabeam putera Raja Salomo, yang ketika itu masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mempertahankan diri.
8 Sekarang kamu pun hendak melawan kekuasaan yang diberikan TUHAN kepada keturunan Raja Daud. Kamu mempunyai tentera yang besar dan patung-patung anak lembu jantan daripada emas yang dibuat oleh Yerobeam sebagai dewa-dewa kamu.
9 Kamu telah mengusir imam-imam TUHAN, iaitu imam-imam keturunan Harun dan kamu juga mengusir orang Lewi. Sebagai ganti mereka, kamu melantik imam menurut kebiasaan bangsa-bangsa lain. Sesiapa yang datang dengan seekor lembu jantan atau dengan tujuh ekor domba, dapat dilantik menjadi imam untuk sesuatu yang bukan Allah.
10 Tetapi kami masih mengabdi kepada TUHAN, Allah kami. Kami tidak meninggalkan Dia. Imam-imam keturunan Harun melakukan tugas mereka sambil dibantu orang Lewi.
11 Tiap-tiap pagi dan petang mereka mempersembahkan kemenyan, dan juga binatang sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka mempersembahkan roti sajian di atas meja yang dikhaskan, dan tiap-tiap malam mereka menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas. Kami melakukan perintah TUHAN, tetapi kamu telah menolak Dia.
12 Allah sendiri yang menjadi pemimpin kami. Imam-imam-Nya berada di sini dan bersiap meniup trompet sebagai tanda bagi kami untuk menyerang kamu. Hai rakyat Israel, jangan lawan TUHAN, Allah nenek moyang kamu! Kamu tidak mungkin menang!”
13 Sementara itu, Raja Yerobeam telah mengirim sebahagian daripada tenteranya untuk mengadang tentera Yehuda dari belakang, dan yang lain menghadap mereka dari depan.
14 Tentera Yehuda melihat di sekeliling mereka dan sedar bahawa mereka telah dikepung. Maka mereka berseru kepada TUHAN meminta pertolongan, dan para imam meniup trompet mereka.
15 Selepas itu tentera Yehuda berteriak dengan kuat, dan di bawah pimpinan Raja Abia, mereka melancarkan serangan. Allah mengalahkan Raja Yerobeam dan tentera Israel.
16 Tentera Israel lari daripada tentera Yehuda, dan Allah membiarkan tentera Yehuda mengalahkan mereka.
17 Mereka dikalahkan dengan teruk oleh Raja Abia dan tenteranya. Setengah juta orang askar Israel yang paling baik telah terbunuh.
18 Demikianlah orang Yehuda mengalahkan orang Israel, kerana orang Yehuda bergantung kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.
19 Raja Abia mengejar pasukan Raja Yerobeam dan menduduki beberapa buah kotanya, iaitu Betel, Yesana, Efron, dan pekan-pekan di sekitar kota-kota itu.
20 Raja Yerobeam tidak dapat memulihkan kekuasaannya selama pemerintahan Raja Abia. Akhirnya Raja Yerobeam dibunuh oleh TUHAN, lalu baginda mangkat.
21 Sebaliknya, Raja Abia semakin berkuasa. Baginda mempunyai 14 orang isteri, 22 orang putera dan 16 orang puteri.
22 Kisah selanjutnya tentang Raja Abia, ucapannya dan perbuatannya, tercatat di dalam kitab Sejarah Nabi Ido.