2 Tawarikh 30 BM

Persiapan untuk Perayaan Paska

1-3 Penduduk belum dapat merayakan Paska pada masa yang telah ditentukan, iaitu pada bulan pertama, kerana mereka tidak mempunyai cukup imam yang telah menyucikan diri; lagipun belum banyak orang yang berkumpul di Yerusalem. Oleh itu Raja Hizkia, para pegawai baginda, dan penduduk Yerusalem bersetuju merayakan Paska pada bulan kedua. Raja mengirim berita kepada segenap penduduk Israel dan Yehuda, bahkan kepada suku Efraim dan Manasye, untuk menjemput mereka datang ke Rumah TUHAN di Yerusalem supaya merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah Israel.

4 Raja dan rakyat bersetuju dengan cadangan itu.

5 Mereka menjemput semua orang Israel, dari Dan di utara sampai ke Bersyeba di selatan, supaya berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Paska menurut ketetapan di dalam Taurat. Mereka hendak merayakan Paska secara besar-besaran.

6 Utusan-utusan dihantar oleh raja dan pegawai-pegawainya ke seluruh Yehuda dan Israel dengan jemputan yang berbunyi demikian,“Hai penduduk Israel, kamu telah terselamat daripada penjajahan orang Asyur. Sekarang kembalilah kepada TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, maka TUHAN pun akan kembali kepada kamu.

7 Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu dan sesama suku kamu orang Israel yang tidak setia kepada TUHAN, Allah mereka. Sebagaimana telah kamu ketahui, Dia menghukum mereka dengan berat.

8 Jangan berdegil seperti mereka. Taatlah kepada TUHAN. Datanglah ke Rumah TUHAN di Yerusalem, yang telah dikhaskan oleh TUHAN, Allah kamu untuk selama-lamanya. Beribadatlah kepada-Nya supaya Dia tidak murka lagi terhadap kamu.

9 Jika kamu kembali kepada TUHAN, orang yang telah menawan sanak keluarga kamu akan mengasihani mereka, lalu membenarkan mereka pulang. TUHAN, Allah kamu itu baik dan berbelas kasihan; jika kamu kembali kepada-Nya, Dia akan menyambut kamu.”

10 Para utusan itu pergi ke tiap-tiap kota di wilayah Efraim dan Manasye, dan di utara sampai ke wilayah suku Zebulon. Orang mentertawakan dan mempermalukan mereka,

11 tetapi ada juga orang daripada suku Asyer, Manasye, dan Zebulon yang mahu datang ke Yerusalem.

12 Di Yehuda, Allah pun bertindak dan menyatukan hati rakyat supaya sungguh-sungguh taat kepada kehendak-Nya, sehingga mereka rela menurut perintah raja dan pegawai-pegawainya.

Perayaan Paska

13 Pada bulan kedua, banyak orang berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi.

14 Mereka membongkar semua mazbah di Yerusalem yang telah digunakan untuk mempersembahkan korban dan membakar kemenyan kepada dewa-dewa lalu membuang semuanya ke dalam Lembah Kidron.

15 Pada keempat belas hari bulan itu, mereka menyembelih anak-anak domba bagi korban Perayaan Paska. Para imam dan orang Lewi yang belum menyucikan diri sangat malu sehingga mereka pun menyucikan diri supaya dapat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di Rumah TUHAN.

16 Mereka mengambil tempat masing-masing di Rumah TUHAN menurut peraturan di dalam Taurat Musa, hamba Allah. Orang Lewi memberikan darah binatang kepada para imam untuk dipercikkan di atas mazbah.

17 Oleh sebab banyak orang yang belum menyucikan diri, mereka tidak dapat menyembelih anak domba Paska. Oleh itu orang Lewi melakukannya bagi mereka dan mempersembahkan anak domba yang disembelih itu kepada TUHAN.

18 Selain itu, banyak juga orang daripada suku Efraim, Manasye, Isakhar, dan Zebulon yang belum menyucikan diri. Oleh sebab itu mereka merayakan Paska dengan tidak memenuhi syarat. Kemudian Raja Hizkia berdoa bagi mereka,

19 “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, demi kebaikan-Mu ampunilah mereka yang menyembah Engkau dengan segenap hati, walaupun mereka belum menyucikan diri.”

20 TUHAN mengabulkan doa Raja Hizkia dan mengampuni semua orang itu dan tidak menghukum mereka.

21 Selama tujuh hari orang yang telah berkumpul di Yerusalem merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi dengan bersukacita. Setiap hari orang Lewi dan imam-imam memuji TUHAN dengan segenap kekuatan mereka.

22 Raja Hizkia memuji orang Lewi atas kemahiran mereka memimpin ibadat kepada TUHAN.Selepas tujuh hari mereka menikmati makanan perayaan serta mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka,

Perayaan Kedua

23 mereka semua membuat keputusan untuk meneruskan perayaan itu tujuh hari lagi. Mereka merayakan perayaan itu dengan sukacita.

24 Raja Hizkia menyumbang 1,000 ekor lembu jantan dan 7,000 ekor domba untuk disembelih dan dimakan oleh rakyat. Para pegawai pun menyumbang 1,000 ekor lembu jantan dan 10,000 ekor domba. Pada masa itu banyak sekali imam menyucikan diri.

25 Semua orang bersukacita, baik penduduk Yehuda, para imam, orang Lewi, mahupun orang yang datang dari utara, dan bangsa asing yang menetap di Israel dan Yehuda.

26 Seluruh kota Yerusalem bersukacita, kerana sejak pemerintahan Raja Salomo putera Raja Daud, belum pernah perkara seperti ini berlaku.

27 Para imam dan orang Lewi memohon berkat TUHAN bagi rakyat. Dari tempat kediaman-Nya di syurga, TUHAN mendengar serta menyambut doa mereka.