11 Baginda membina kubu-kubu yang kuat dan melantik seorang panglima bagi tiap-tiap kota itu. Baginda melengkapi setiap kota itu dengan persediaan makanan, minyak zaitun dan wain,
12 serta perisai dan tombak. Dengan cara itu baginda menguasai wilayah Yehuda dan Benyamin.
13 Dari seluruh kawasan negeri Israel, para imam dan orang Lewi pergi ke selatan, ke negeri Yehuda.
14 Orang Lewi meninggalkan padang rumput mereka dan tanah yang lain, lalu mereka pindah ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Raja Yerobeam yang memerintah Israel dan raja-raja yang menggantikan baginda tidak membenarkan mereka bertugas sebagai imam TUHAN.
15 Raja Yerobeam melantik imam-imamnya sendiri untuk bertugas di mazbah-mazbah penyembahan berhala dan syaitan, serta patung-patung berupa anak lembu jantan yang dibuatnya.
16 Daripada semua suku Israel, orang yang benar-benar hendak menyembah TUHAN, Allah Israel, mengikut orang Lewi ke Yerusalem, supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.
17 Dengan demikian kerajaan Yehuda dikuatkan. Selama tiga tahun mereka menyokong Raja Rehabeam putera Raja Salomo. Mereka hidup seperti pada zaman dahulu, di bawah pemerintahan Raja Daud dan Raja Salomo.