2 Pada tahun kelima pemerintahan baginda, mereka dihukum oleh TUHAN kerana mereka tidak setia kepada-Nya. Yerusalem diserang oleh Raja Sisak, pemerintah Mesir,
3 dengan 1,200 buah kereta kuda, 60,000 orang askar berkuda, dan askar-askar yang tidak dapat dikira, termasuk juga tentera Libia, Suki, dan Etiopia.
4 Raja Sisak merebut kota-kota Yehuda yang berkubu, lalu maju sampai ke Yerusalem.
5 Nabi Semaya menghadap Raja Rehabeam dan pemimpin-pemimpin Yehuda yang berkumpul di Yerusalem untuk melarikan diri daripada Raja Sisak. Semaya berkata kepada mereka, “Dengarlah firman TUHAN, ‘Kamu telah meninggalkan Aku; sekarang Aku meninggalkan kamu sehingga kamu dikuasai oleh Sisak.’ ”
6 Raja dan pemimpin-pemimpin itu mengakui bahawa mereka sudah berdosa. Mereka berkata, “Apa yang dilakukan TUHAN itu adil.”
7 Apabila TUHAN mendengar kata-kata mereka, Dia berfirman lagi kepada Semaya, “Oleh sebab mereka mengakui dosa, mereka tidak akan Kubinasakan sama sekali. Apabila Sisak melancarkan serangan, mereka akan Kubiarkan menyelamatkan diri, dan Yerusalem tidak akan hancur.
8 Walaupun begitu, Sisak akan menaklukkan mereka; barulah mereka tahu perbezaannya mengabdikan diri kepada-Ku dan mengabdikan diri kepada pemerintah dunia ini.”