4 Raja Sisak merebut kota-kota Yehuda yang berkubu, lalu maju sampai ke Yerusalem.
5 Nabi Semaya menghadap Raja Rehabeam dan pemimpin-pemimpin Yehuda yang berkumpul di Yerusalem untuk melarikan diri daripada Raja Sisak. Semaya berkata kepada mereka, “Dengarlah firman TUHAN, ‘Kamu telah meninggalkan Aku; sekarang Aku meninggalkan kamu sehingga kamu dikuasai oleh Sisak.’ ”
6 Raja dan pemimpin-pemimpin itu mengakui bahawa mereka sudah berdosa. Mereka berkata, “Apa yang dilakukan TUHAN itu adil.”
7 Apabila TUHAN mendengar kata-kata mereka, Dia berfirman lagi kepada Semaya, “Oleh sebab mereka mengakui dosa, mereka tidak akan Kubinasakan sama sekali. Apabila Sisak melancarkan serangan, mereka akan Kubiarkan menyelamatkan diri, dan Yerusalem tidak akan hancur.
8 Walaupun begitu, Sisak akan menaklukkan mereka; barulah mereka tahu perbezaannya mengabdikan diri kepada-Ku dan mengabdikan diri kepada pemerintah dunia ini.”
9 Demikianlah Raja Sisak memasuki Yerusalem dan merampas harta di Rumah TUHAN dan di istana. Baginda mengambil segala-galanya termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo.
10 Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua perisai itu kepada para pegawai yang bertanggungjawab mengawal pintu-pintu istana.