10 Raja Asa keluar untuk menentang Zerah, dan masing-masing membuat pertahanan di Lembah Zefata dekat Maresa.
11 Raja Asa berdoa kepada TUHAN, Allahnya, “Ya TUHAN, Engkau sanggup menolong tentera yang lemah sebagaimana Engkau menolong pasukan yang kuat. Sekarang tolonglah kami, ya TUHAN, Allah kami, kerana kami bersandar kepada-Mu. Demi nama-Mu, kami sekarang keluar berperang dengan tentera yang besar ini. Engkaulah Allah kami, ya TUHAN; tiada sesiapa pun dapat berharap mengalahkan Engkau.”
12 Apabila Raja Asa dan tentera Yehuda melancarkan serangan, TUHAN mengalahkan tentera orang Etiopia. Mereka melarikan diri,
13 lalu Raja Asa dengan tenteranya mengejar mereka sampai ke Gerar. Banyak sekali orang Etiopia yang terbunuh. Tentera Etiopia menjadi lemah sehingga mereka tidak dapat bertahan dan bertempur. Mereka dikalahkan oleh TUHAN dan tentera-Nya. Tentera Yehuda mendapat banyak sekali barang jarahan.
14 Selepas itu mereka berjaya memusnahkan kota-kota di sekitar Gerar kerana TUHAN menyebabkan penduduk di situ ketakutan. Tentera Yehuda menjarah semua kota itu dan mendapat banyak sekali barang jarahan.
15 Mereka juga menyerang beberapa perkhemahan gembala dan merampas banyak domba dan unta. Kemudian mereka pulang ke Yerusalem.