2 Oleh sebab perbuatannya yang baik dan adil, Raja Asa diperkenankan TUHAN, Allahnya.
3 Raja Asa membuang mazbah-mazbah bangsa asing dan tempat-tempat penyembahan berhala. Baginda merobohkan tiang-tiang berhala dan tugu-tugu Dewi Asyera.
4 Baginda menyuruh penduduk Yehuda melakukan kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka, dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya.
5 Oleh sebab baginda menyingkirkan tempat-tempat penyembahan berhala dan mazbah-mazbah kemenyan di semua kota Yehuda, kerajaan itu aman di bawah pemerintahannya.
6 Baginda membina kubu bagi kota-kota Yehuda pada masa itu, dan selama beberapa tahun peperangan tidak berlaku, kerana TUHAN mengurniakan keamanan kepadanya.
7 Raja Asa bertitah kepada penduduk Yehuda, “Marilah kita membina tembok-tembok, menara-menara, dan pintu-pintu gerbang yang berpalang untuk memperkuat kota-kota ini. Kita dapat menguasai negeri ini kerana kita telah melakukan kehendak TUHAN, Allah kita. Dia telah melindungi kita dan memberikan keamanan di seluruh negeri kita.” Demikianlah mereka memulakan pembinaan dan menyelesaikan pekerjaan itu dengan baik.
8 Raja Asa mempunyai tentera sebanyak 300,000 orang askar dari Yehuda, lengkap dengan perisai serta tombak, dan 280,000 orang askar dari Benyamin, lengkap dengan perisai dan busur. Segenap tentera itu terdiri daripada askar yang terlatih dan gagah berani.