13 Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan Allah saya!”
14 Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, raja bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
15 Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?”
16 Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ”
17 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!”
18 Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya.
19 TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza.