19 TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza.
20 Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’
21 Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ”
22 Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah menyebabkan nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”
23 Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”
24 Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”
25 Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada gabenor kota, iaitu Amon, dan Putera Yoas.