29 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian raja.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.
30 Raja negeri Siria telah memerintah panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel.
31 Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, TUHAN Allah menolong baginda dan mengalihkan serangan itu ke arah lain.
32 Panglima pasukan kereta kuda itu sedar bahawa raja itu bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda.
33 Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” seru Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!”
34 Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Pada waktu matahari terbenam, Raja Ahab mangkat.