6 Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
7 Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya berkata demikian.”
8 Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.
9 Kedua-dua orang raja itu, dengan berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta, di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua.
10 Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ”
11 Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.”
12 Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.”