2 Tawarikh 19:5-11 BM

5 Raja Yosafat melantik hakim-hakim di setiap kota berkubu di Yehuda.

6 Baginda memberikan perintah ini kepada mereka, “Berhati-hatilah apabila kamu menghakimi orang, kerana kamu bertindak bukan atas nama manusia, melainkan atas nama TUHAN. Dia mengawasi kamu apabila kamu memberikan keputusan.

7 Takutlah akan TUHAN, dan bertindaklah dengan hati-hati, kerana TUHAN, Allah kita membenci orang yang curang, atau yang berat sebelah, ataupun yang menerima rasuah.”

8 Di Yerusalem, Raja Yosafat melantik orang Lewi, imam-imam, dan beberapa orang pemimpin rakyat sebagai hakim, untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan pelanggaran Taurat TUHAN dan pelanggaran undang-undang oleh penduduk kota itu.

9 Raja Yosafat memberikan perintah berikut kepada hakim-hakim itu, “Jalankanlah tugas kamu dengan takut akan TUHAN. Hendaklah kamu setia dan taat kepada-Nya dalam segala tindakan kamu.

10 Apabila orang sebangsa kamu dari kota lain mengajukan perkara pembunuhan, pelanggaran Taurat, atau pelanggaran undang-undang, hendaklah kamu memberi mereka petunjuk supaya mereka tidak berdosa terhadap TUHAN. Jika tidak, kamu, dan bangsa kamu akan kena kemurkaan TUHAN. Tetapi jika kamu menjalankan tanggungjawab kamu itu, kamu tidak bersalah.

11 Imam Agung Amarya akan berkuasa penuh bagi segala perkara agama, dan Zebaja anak Ismael, gabenor Yehuda, berkuasa penuh bagi semua perkara awam. Orang Lewi bertanggungjawab atas pelaksanaan keputusan mahkamah. Bertindaklah dengan tegas dan turutilah petunjuk-petunjuk ini. Semoga TUHAN menyertai orang yang berlaku adil!”