2 Tawarikh 2:1-7 BM

1 Raja Salomo mengambil keputusan untuk membina rumah, tempat beribadat kepada TUHAN, dan juga sebuah istana untuk dirinya sendiri.

2 Baginda menyuruh 70,000 orang untuk mengangkut barang-barang, 80,000 orang untuk memahat batu di perbukitan, dan 3,600 orang mandur untuk mengawasi pekerjaan itu.

3 Raja Salomo mengirim berita kepada Raja Hiram dari Tirus, “Adakanlah hubungan perdagangan dengan beta sebagaimana tuanku pernah mengadakan hubungan perdagangan dengan ayahanda beta, Raja Daud. Tuanku telah menjual kayu sedar kepadanya ketika baginda membina istananya.

4 Beta hendak membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati TUHAN, Allah beta. Rumah itu akan menjadi tempat yang suci, tempat rakyat dan beta sendiri menyembah TUHAN dengan membakar kemenyan yang harum; di sana beta dan rakyat beta akan sentiasa mempersembahkan roti yang suci dan juga korban untuk menyenangkan hati TUHAN pada tiap-tiap pagi dan petang, pada hari-hari Sabat, pada perayaan Bulan Baru, dan pada perayaan-perayaan lain. Beta dan rakyat beta hendak menghormati TUHAN, Allah kami. Dia telah memerintah umat Israel untuk berbuat demikian selama-lamanya.

5 Beta bercadang untuk membina sebuah rumah ibadat yang agung, kerana Allah kami lebih agung daripada tuhan-tuhan lain.

6 Namun siapakah yang benar-benar dapat membina rumah bagi Allah? Seluruh angkasa raya pun tidak cukup besar untuk menjadi tempat tinggal-Nya. Oleh itu rumah yang beta bina bagi-Nya hanya sekadar tempat untuk membakar kemenyan kepada Allah.

7 Hantarlah seorang tukang kepada beta. Dia harus pandai mengukir dan mahir membuat barangan daripada emas, perak, gangsa, dan besi, dan juga pandai membuat kain berwarna biru, ungu, dan merah. Dia akan bekerja dengan tukang-tukang dari Yehuda dan Yerusalem yang telah dipilih oleh ayahanda beta, Raja Daud.