3 Raja Yosafat takut lalu berdoa kepada TUHAN meminta petunjuk. Kemudian baginda memerintah penduduk negeri supaya berpuasa.
4 Dari tiap-tiap kota di Yehuda, rakyat pergi ke Yerusalem untuk minta pertolongan daripada TUHAN.
5 Bersama-sama penduduk Yerusalem, mereka berkumpul di halaman baru di Rumah TUHAN. Raja Yosafat berdiri di hadapan rakyat
6 lalu berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, dari takhta-Mu di syurga, Engkau memerintah bangsa-bangsa di bumi ini. Engkau berkuasa dan perkasa! Tiada sesiapa pun dapat melawan Engkau.
7 Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya.
8 Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu
9 bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka.