7 Allah telah menentukan agar Raja Ahazia menemui kejatuhannya apabila baginda melawat Raja Yoram. Ketika Raja Ahazia berada di situ, baginda dan Raja Yoram dicabar oleh seorang yang bernama Yehu anak Nimsi, yang telah dipilih TUHAN untuk membinasakan keluarga Raja Ahab.
8 Ketika Yehu menjalankan hukuman TUHAN terhadap keluarga itu, dia berjumpa dengan sekumpulan pemimpin Yehuda dan putera-putera saudara Raja Ahazia yang ikut dalam kunjungan itu. Maka Yehu membunuh mereka semua.
9 Kemudian Yehu menyuruh orang mencari Raja Ahazia. Baginda ditangkap ketika bersembunyi di Samaria. Mereka membawa Raja Ahazia kepada Yehu, lalu baginda dibunuh. Walaupun begitu mereka memakamkan Raja Ahazia kerana mereka menghormati datuk baginda, Raja Yosafat yang telah mengabdi kepada TUHAN dengan sepenuh hati.Tiada sesiapa lagi daripada keluarga Raja Ahazia yang dapat mengambil alih pemerintahan.
10 Apabila bonda Raja Ahazia mendengar tentang pembunuhan puteranya, bonda raja itu memerintah supaya semua anggota keluarga diraja Yehuda dibunuh.
11 Raja Ahazia mempunyai seorang saudara tiri perempuan bernama Yoseba, yang berkahwin dengan seorang imam bernama Yoyada. Dengan diam-diam Yoseba mengambil Yoas, salah seorang putera Raja Ahazia. Yoseba mengambil Yoas daripada putera-putera raja yang lain, dan menyembunyikan Yoas dan pengasuhnya di sebuah bilik di Rumah TUHAN. Dengan demikian Yoseba menyelamatkan Yoas daripada Atalya bonda raja, yang hendak membunuh putera-putera raja.
12 Enam tahun lamanya Yoas disembunyikan di situ sementara Atalya bonda raja, memerintah sebagai ratu.