1 Setelah menunggu selama enam tahun, barulah Imam Yoyada bertindak. Dia mengadakan persepakatan dengan lima orang pegawai tentera: Azarya anak Yeroham, Ismael anak Yohanan, Azarya anak Obed, Maaseya anak Adaya, dan Elisafat anak Zikhri.
2 Mereka menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengumpulkan orang Lewi dan semua ketua puak, lalu membawa mereka ke Yerusalem.
3 Mereka semua berkumpul di Rumah TUHAN dan membuat perjanjian dengan Yoas putera Raja Ahazia. Yoyada berkata kepada mereka, “Inilah putera raja. Sekarang baginda yang harus menjadi raja, sebagaimana yang telah dijanjikan TUHAN tentang keturunan Raja Daud.
4 Inilah yang harus kita lakukan. Apabila imam-imam dan orang Lewi datang bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada mereka harus mengawal pintu gerbang Rumah TUHAN,
5 dan sepertiga lagi mengawal istana, dan yang lain berkawal di Pintu Gerbang Dasar. Semua rakyat mesti berkumpul di halaman Rumah TUHAN.
6 Tiada sesiapa pun boleh masuk ke dalam Rumah TUHAN, kecuali para imam dan orang Lewi yang sedang bertugas. Mereka boleh masuk kerana mereka telah ditahbiskan. Tetapi semua orang lain mesti taat kepada perintah TUHAN dan tinggal di luar.