3 Mereka semua berkumpul di Rumah TUHAN dan membuat perjanjian dengan Yoas putera Raja Ahazia. Yoyada berkata kepada mereka, “Inilah putera raja. Sekarang baginda yang harus menjadi raja, sebagaimana yang telah dijanjikan TUHAN tentang keturunan Raja Daud.
4 Inilah yang harus kita lakukan. Apabila imam-imam dan orang Lewi datang bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada mereka harus mengawal pintu gerbang Rumah TUHAN,
5 dan sepertiga lagi mengawal istana, dan yang lain berkawal di Pintu Gerbang Dasar. Semua rakyat mesti berkumpul di halaman Rumah TUHAN.
6 Tiada sesiapa pun boleh masuk ke dalam Rumah TUHAN, kecuali para imam dan orang Lewi yang sedang bertugas. Mereka boleh masuk kerana mereka telah ditahbiskan. Tetapi semua orang lain mesti taat kepada perintah TUHAN dan tinggal di luar.
7 Orang Lewi mesti berkawal di sekeliling raja dengan pedang terhunus. Mereka mesti mengawal raja ke mana sahaja baginda pergi. Sesiapa yang cuba masuk ke dalam Rumah TUHAN mesti dibunuh.”
8 Demikianlah orang Lewi dan penduduk Yehuda melaksanakan perintah Yoyada. Orang yang selesai bertugas pada hari Sabat tidak dibenarkan pulang. Oleh itu para ketua dapat mengerah orang yang selesai bertugas dan juga orang yang baru datang untuk bertugas.
9 Yoyada memberi pegawai-pegawai tentera itu tombak dan perisai, yang dahulunya dimiliki Raja Daud, dan yang disimpan di dalam Rumah TUHAN.