1 Raja Yoas menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tujuh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya ialah Zibya, yang berasal dari kota Bersyeba.
2 Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati TUHAN selama Imam Yoyada masih hidup.
3 Yoyada memilih dua orang isteri bagi Raja Yoas, dan daripada mereka Raja Yoas mendapat putera dan puteri.
4 Selepas Raja Yoas memerintah selama beberapa waktu, baginda mengambil keputusan untuk memperbaiki Rumah TUHAN.
5 Baginda memerintah para imam dan orang Lewi pergi ke kota-kota di Yehuda supaya mengumpulkan wang daripada seluruh rakyat sehingga cukup untuk memperbaiki Rumah TUHAN setiap tahun. Baginda memerintah mereka supaya bertindak dengan segera, tetapi orang Lewi berlambat-lambat.