2 Tawarikh 24:20-26 BM

20 Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia anak Yoyada, imam itu. Zakharia berdiri di tempat yang dapat dilihat orang ramai, lalu berseru, “TUHAN Allah berfirman, ‘Mengapa kamu tidak taat kepada perintah-Ku sehingga mendatangkan bencana kepada diri kamu sendiri? Kamu telah meninggalkan Aku; oleh itu Aku juga meninggalkan kamu!’ ”

21 Raja Yoas ikut berpakat dengan rakyat untuk menentang Zakharia, maka dengan titah raja, rakyat merejam Zakharia di halaman Rumah TUHAN.

22 Raja Yoas lupa akan jasa dan kesetiaan Yoyada, bapa Zakharia, kepada baginda. Kemudian baginda memberikan perintah supaya Zakharia dibunuh. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihat perbuatan kamu ini dan menghukum kamu!”

23 Pada musim luruh tahun itu, tentera Siria menyerang Yehuda dan Yerusalem. Mereka membunuh semua pemimpin dan membawa banyak barang jarahan ke Damsyik.

24 Tentera Siria tidak besar, tetapi TUHAN membiarkan mereka mengalahkan tentera Yehuda yang lebih besar, kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Dengan cara itu Raja Yoas dihukum.

25 Raja Yoas luka parah. Apabila pasukan musuh mengundurkan diri, dua orang pegawai Raja Yoas bermuslihat terhadap baginda. Mereka membunuh Raja Yoas di tempat peraduannya untuk membalas dendam kematian anak lelaki Yoyada, imam itu. Raja Yoas dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja. (

26 Orang yang bermuslihat terhadap Raja Yoas ialah Zabad dan Yozabad. Ibu Zabad ialah Simeat dari Amon, dan ibu Yozabad ialah Simrit dari Moab.)