4 Selepas Raja Yoas memerintah selama beberapa waktu, baginda mengambil keputusan untuk memperbaiki Rumah TUHAN.
5 Baginda memerintah para imam dan orang Lewi pergi ke kota-kota di Yehuda supaya mengumpulkan wang daripada seluruh rakyat sehingga cukup untuk memperbaiki Rumah TUHAN setiap tahun. Baginda memerintah mereka supaya bertindak dengan segera, tetapi orang Lewi berlambat-lambat.
6 Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada, pemimpin mereka dan bertanya, “Mengapa kamu tidak menyuruh orang Lewi pergi kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem untuk mengumpulkan cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, bagi Khemah TUHAN?”
7 Pada masa itu pengikut-pengikut Atalya, perempuan zalim itu, telah merosakkan Rumah TUHAN dan banyak alat yang dikhususkan bagi Allah telah digunakan mereka untuk menyembah Baal.
8 Raja memerintah orang Lewi membuat sebuah peti, lalu meletakkannya di hadapan pintu gerbang Rumah TUHAN.
9 Mereka memberitakan ke seluruh Yerusalem dan Yehuda, bahawa tiap-tiap orang mesti membawa cukai untuk TUHAN, seperti yang diwajibkan oleh Musa, hamba TUHAN itu, di padang gurun dahulu.
10 Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka suka akan cadangan itu, lalu membawa wang cukai mereka dan memenuhkan peti itu.