2 Tawarikh 25:15-21 BM

15 Perbuatan itu membangkitkan kemurkaan TUHAN, lalu Dia mengutus seorang nabi kepada Raja Amazia. Nabi itu bertanya kepada baginda, “Mengapakah tuanku menyembah dewa-dewa bangsa asing yang tidak dapat menyelamatkan pemuja dewa-dewa itu sendiri daripada kekuasaan tuanku?”

16 Tetapi Raja Amazia memotong cakap dan bertitah, “Sejak bilakah kami melantik engkau menjadi penasihat raja? Diamlah, jika tidak, engkau akan dibunuh!”Sebelum nabi itu berdiam diri, dia berkata, “Sekarang barulah hamba tahu bahawa Allah telah bertekad untuk membinasakan tuanku kerana segala perbuatan tuanku, dan juga kerana tuanku tidak mengendahkan nasihat hamba.”

17 Raja Amazia dari Yehuda dan penasihat-penasihatnya mengadakan persepakatan melawan Israel. Baginda menghantar seorang pesuruh kepada raja Israel, iaitu Raja Yehoas putera Raja Yehoahas, cucu Raja Yehu, untuk mencabar baginda berperang.

18 Raja Yehoas menghantar utusan itu kembali kepada Raja Amazia dengan jawapan ini, “Pada suatu masa semak berduri di pergunungan Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak-injak semak berduri itu.

19 Hai Raja Amazia, tuanku membesar-besarkan diri kerana tuanku telah mengalahkan orang Edom; tetapi beta menasihatkan tuanku supaya tinggal sahaja di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana bagi tuanku dan rakyat tuanku?”

20 Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Memang sudah kehendak Allah agar Raja Amazia dikalahkan, kerana baginda telah menyembah berhala-berhala orang Edom.

21 Oleh itu Raja Yehoas dari Israel berperang melawan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka bertempur di Bet-Semes di Yehuda.