17 Raja Amazia dari Yehuda dan penasihat-penasihatnya mengadakan persepakatan melawan Israel. Baginda menghantar seorang pesuruh kepada raja Israel, iaitu Raja Yehoas putera Raja Yehoahas, cucu Raja Yehu, untuk mencabar baginda berperang.
18 Raja Yehoas menghantar utusan itu kembali kepada Raja Amazia dengan jawapan ini, “Pada suatu masa semak berduri di pergunungan Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak-injak semak berduri itu.
19 Hai Raja Amazia, tuanku membesar-besarkan diri kerana tuanku telah mengalahkan orang Edom; tetapi beta menasihatkan tuanku supaya tinggal sahaja di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana bagi tuanku dan rakyat tuanku?”
20 Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Memang sudah kehendak Allah agar Raja Amazia dikalahkan, kerana baginda telah menyembah berhala-berhala orang Edom.
21 Oleh itu Raja Yehoas dari Israel berperang melawan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka bertempur di Bet-Semes di Yehuda.
22 Pasukan tentera Yehuda kalah, lalu askar-askarnya lari ke rumah masing-masing.
23 Raja Yehoas menangkap Raja Amazia lalu membawanya ke Yerusalem. Di sana Raja Yehoas merobohkan tembok kota sepanjang hampir 200 meter dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut.