2 Tawarikh 25:4-10 BM

4 tetapi baginda tidak membunuh anak-anak mereka. Raja Amazia menurut apa yang diperintahkan oleh TUHAN di dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, “Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hanya boleh dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri.”

5 Raja Amazia mengumpulkan semua orang suku Yehuda dan Benyamin. Baginda membahagi mereka menjadi beberapa pasukan tentera menurut puak masing-masing. Baginda melantik pegawai untuk mengetuai tiap-tiap pasukan itu; ada pasukan yang terdiri daripada seribu orang, dan ada juga yang terdiri daripada seratus orang. Anggota pasukan itu termasuk semua kaum lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas. Semuanya berjumlah 300,000 orang. Mereka orang yang terpilih, yang siap untuk bertempur, dan handal menggunakan tombak dan perisai.

6 Selain itu Raja Amazia juga mengupah 100,000 orang askar dari Israel dengan kira-kira 3,400 kilogram perak.

7 Tetapi ada seorang nabi menghadap raja dan berkata kepada baginda, “Jangan bawa askar-askar Israel ini bersama-sama tuanku kerana TUHAN tidak menolong orang dari Kerajaan Utara.

8 Tuanku menyangka bahawa mereka akan menguatkan pasukan tuanku ketika bertempur, tetapi Allah sahaja yang berkuasa memberikan kemenangan atau kekalahan. Allah akan membiarkan musuh mengalahkan tuanku.”

9 Raja Amazia bertanya kepada nabi itu, “Tetapi bagaimanakah dengan semua perak yang telah beta berikan untuk mengupah mereka?”Nabi itu menjawab, “TUHAN dapat memberikan lebih daripada itu kepada tuanku!”

10 Oleh itu Raja Amazia menyuruh pasukan yang diupah itu pulang. Kemudian mereka pulang tetapi sangat marah terhadap penduduk Yehuda.