2 Tawarikh 26:15-21 BM

15 Di Yerusalem, para ahli senjatanya mencipta alat yang dapat melepaskan anak panah dan menghumban batu besar dari atas menara dan penjuru tembok kota. Raja Uzia menjadi termasyhur di merata-rata tempat, dan baginda menjadi sangat berkuasa kerana mendapat pertolongan daripada Allah.

16 Selepas Raja Uzia menjadi kuat, baginda menjadi sombong; kesombongan baginda menyebabkan kejatuhannya. Raja Uzia melanggar perintah TUHAN, Allahnya kerana baginda membakar kemenyan di atas mazbah kemenyan di Rumah TUHAN.

17 Imam Azarya, bersama dengan lapan puluh orang imam yang kuat dan berani,

18 cuba mencegah raja. Mereka berkata, “Tuanku Uzia, tuanku tidak berhak membakar kemenyan untuk TUHAN. Hanya imam-imam keturunan Harun telah ditahbiskan untuk pekerjaan itu. Tinggalkanlah tempat yang suci ini. Tuanku telah bersalah terhadap TUHAN Allah dan tidak lagi diberkati oleh-Nya.”

19 Raja Uzia sedang berdiri di sebelah mazbah kemenyan di Rumah TUHAN, sambil memegang tempat membakar kemenyan. Baginda murka kepada imam-imam itu, maka tiba-tiba sejenis penyakit kulit yang mengerikan timbul pada dahinya.

20 Azarya dan imam-imam yang lain melihat raja dan nampak penyakit kulit yang mengerikan pada dahinya. Lalu mereka mendesak raja meninggalkan Rumah TUHAN dengan segera. Raja keluar dengan tergesa-gesa, kerana TUHAN telah menghukum baginda.

21 Seumur hidupnya, Raja Uzia tidak sembuh daripada penyakit itu. Baginda diasingkan di sebuah rumah dan tidak dibenarkan masuk ke Rumah TUHAN lagi. Raja Uzia dibebaskan daripada segala tugas baginda, lalu puteranya Yotam memerintah kerajaan sebagai wakil raja.