4 Raja Uzia mengikut teladan ayahandanya dan baginda melakukan apa yang diperkenankan TUHAN.
5 Selama Zakharia masih hidup, Raja Uzia beribadat kepada TUHAN dengan setia, dan Allah pun memberkati baginda. Zakharia mengajar baginda supaya takut akan Allah.
6 Raja Uzia berperang melawan orang Filistin. Baginda merobohkan tembok kota Gat, Yabne, dan Asdod, lalu membina kota-kota berkubu dekat Asdod dan di kawasan orang Filistin.
7 Allah menolong Raja Uzia mengalahkan orang Filistin, orang Arab yang tinggal di Gur-Baal, dan orang Meunim.
8 Orang Amon membayar ufti kepada Raja Uzia, dan baginda menjadi sangat berkuasa sehingga namanya termasyhur sampai ke Mesir.
9 Raja Uzia membina beberapa buah menara di Pintu Gerbang Sudut, Pintu Gerbang Lembah, dan penjuru tembok untuk menguatkan kubu Yerusalem.
10 Baginda juga membina menara-menara berkubu di tanah lapang dan menggali perigi-perigi, kerana baginda mempunyai banyak ternakan di kaki bukit di sebelah barat dan di tanah rata. Raja Uzia suka akan pertanian; oleh itu baginda menggalakkan rakyat supaya mengusahakan ladang anggur di kawasan perbukitan dan mengerjakan tanah yang subur.