9 Raja Uzia membina beberapa buah menara di Pintu Gerbang Sudut, Pintu Gerbang Lembah, dan penjuru tembok untuk menguatkan kubu Yerusalem.
10 Baginda juga membina menara-menara berkubu di tanah lapang dan menggali perigi-perigi, kerana baginda mempunyai banyak ternakan di kaki bukit di sebelah barat dan di tanah rata. Raja Uzia suka akan pertanian; oleh itu baginda menggalakkan rakyat supaya mengusahakan ladang anggur di kawasan perbukitan dan mengerjakan tanah yang subur.
11 Raja Uzia mempunyai tentera besar yang sentiasa siap untuk bertempur. Mereka terdiri daripada pasukan-pasukan yang jumlahnya dicatat oleh dua orang setiausaha, iaitu Yeiel dan Maaseya, di bawah pengawasan Hananya, salah seorang pegawai raja.
12 Segenap angkatan perang itu dipimpin oleh 2,600 orang pegawai.
13 Di bawah pimpinan para pegawai itu terdapat 307,500 orang askar yang gagah perkasa, siap untuk berperang dan membantu raja melawan musuh.
14 Raja Uzia melengkapi angkatan perang itu dengan perisai, tombak, topi besi, baju zirah, busur dan panah, serta batu-batu untuk penghumban.
15 Di Yerusalem, para ahli senjatanya mencipta alat yang dapat melepaskan anak panah dan menghumban batu besar dari atas menara dan penjuru tembok kota. Raja Uzia menjadi termasyhur di merata-rata tempat, dan baginda menjadi sangat berkuasa kerana mendapat pertolongan daripada Allah.