25 Raja Hizkia mengikut perintah yang diberikan TUHAN kepada Raja Daud melalui Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, dan melalui Nabi Natan. Raja Hizkia menempatkan orang Lewi di dalam Rumah TUHAN untuk memainkan kecapi dan simbal,
26 alat-alat muzik seperti yang digunakan Raja Daud dahulu. Imam-imam juga berdiri di situ dengan trompet.
27 Raja Hizkia memerintahkan supaya korban untuk menyenangkan hati TUHAN dipersembahkan. Sementara korban dipersembahkan, rakyat menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, dan para pemuzik pun mula meniup trompet dan memainkan semua alat muzik yang lain.
28 Tiap-tiap orang di situ ikut beribadat, para penyanyi menyanyi, dan para pemuzik terus memainkan sehingga semua korban selesai dibakar.
29 Selepas itu Raja Hizkia dan semua rakyat berlutut dan menyembah Allah.
30 Raja dan para pemimpin bangsa menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, lagu yang dikarang oleh Raja Daud dan Nabi Asaf. Maka semua orang menyanyi dengan sukacita sambil berlutut dan menyembah Allah.
31 Raja Hizkia bertitah kepada rakyat, “Sekarang kamu telah mentahbiskan diri untuk TUHAN, oleh itu persembahkanlah korban kesyukuran kamu kepada TUHAN.” Mereka taat kepada perintah itu, dan ada pula antara mereka yang dengan sukarela membawa binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.