2 Tawarikh 29:30-36 BM

30 Raja dan para pemimpin bangsa menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, lagu yang dikarang oleh Raja Daud dan Nabi Asaf. Maka semua orang menyanyi dengan sukacita sambil berlutut dan menyembah Allah.

31 Raja Hizkia bertitah kepada rakyat, “Sekarang kamu telah mentahbiskan diri untuk TUHAN, oleh itu persembahkanlah korban kesyukuran kamu kepada TUHAN.” Mereka taat kepada perintah itu, dan ada pula antara mereka yang dengan sukarela membawa binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

32 Mereka membawa 70 ekor lembu jantan, 100 ekor domba jantan, dan 200 ekor anak domba sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

33 Mereka juga membawa 600 ekor lembu jantan, dan 3,000 ekor domba untuk dipersembahkan dan dimakan bersama oleh semua orang yang hadir.

34 Oleh sebab imam yang telah menyucikan diri terlalu sedikit jumlahnya untuk menyembelih semua binatang itu, orang Lewi menolong mereka sehingga kerja itu selesai. Orang Lewi lebih setia kepada peraturan penyucian, dan mereka terus menolong sampai ada cukup imam yang telah menyucikan diri.

35 Selain mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, para imam juga mempersembahkan lemak daripada korban-korban yang dimakan oleh rakyat. Para imam juga mempersembahkan wain bersama dengan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.Demikianlah ibadat di Rumah TUHAN dimulakan semula.

36 Raja Hizkia dan rakyat bersukacita kerana Allah telah menolong mereka melakukan semua perkara itu dengan begitu cepat.