2 Tawarikh 30:1-3-9 BM

1-3 Penduduk belum dapat merayakan Paska pada masa yang telah ditentukan, iaitu pada bulan pertama, kerana mereka tidak mempunyai cukup imam yang telah menyucikan diri; lagipun belum banyak orang yang berkumpul di Yerusalem. Oleh itu Raja Hizkia, para pegawai baginda, dan penduduk Yerusalem bersetuju merayakan Paska pada bulan kedua. Raja mengirim berita kepada segenap penduduk Israel dan Yehuda, bahkan kepada suku Efraim dan Manasye, untuk menjemput mereka datang ke Rumah TUHAN di Yerusalem supaya merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah Israel.

4 Raja dan rakyat bersetuju dengan cadangan itu.

5 Mereka menjemput semua orang Israel, dari Dan di utara sampai ke Bersyeba di selatan, supaya berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Paska menurut ketetapan di dalam Taurat. Mereka hendak merayakan Paska secara besar-besaran.

6 Utusan-utusan dihantar oleh raja dan pegawai-pegawainya ke seluruh Yehuda dan Israel dengan jemputan yang berbunyi demikian,“Hai penduduk Israel, kamu telah terselamat daripada penjajahan orang Asyur. Sekarang kembalilah kepada TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, maka TUHAN pun akan kembali kepada kamu.

7 Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu dan sesama suku kamu orang Israel yang tidak setia kepada TUHAN, Allah mereka. Sebagaimana telah kamu ketahui, Dia menghukum mereka dengan berat.

8 Jangan berdegil seperti mereka. Taatlah kepada TUHAN. Datanglah ke Rumah TUHAN di Yerusalem, yang telah dikhaskan oleh TUHAN, Allah kamu untuk selama-lamanya. Beribadatlah kepada-Nya supaya Dia tidak murka lagi terhadap kamu.

9 Jika kamu kembali kepada TUHAN, orang yang telah menawan sanak keluarga kamu akan mengasihani mereka, lalu membenarkan mereka pulang. TUHAN, Allah kamu itu baik dan berbelas kasihan; jika kamu kembali kepada-Nya, Dia akan menyambut kamu.”