8 Jangan berdegil seperti mereka. Taatlah kepada TUHAN. Datanglah ke Rumah TUHAN di Yerusalem, yang telah dikhaskan oleh TUHAN, Allah kamu untuk selama-lamanya. Beribadatlah kepada-Nya supaya Dia tidak murka lagi terhadap kamu.
9 Jika kamu kembali kepada TUHAN, orang yang telah menawan sanak keluarga kamu akan mengasihani mereka, lalu membenarkan mereka pulang. TUHAN, Allah kamu itu baik dan berbelas kasihan; jika kamu kembali kepada-Nya, Dia akan menyambut kamu.”
10 Para utusan itu pergi ke tiap-tiap kota di wilayah Efraim dan Manasye, dan di utara sampai ke wilayah suku Zebulon. Orang mentertawakan dan mempermalukan mereka,
11 tetapi ada juga orang daripada suku Asyer, Manasye, dan Zebulon yang mahu datang ke Yerusalem.
12 Di Yehuda, Allah pun bertindak dan menyatukan hati rakyat supaya sungguh-sungguh taat kepada kehendak-Nya, sehingga mereka rela menurut perintah raja dan pegawai-pegawainya.
13 Pada bulan kedua, banyak orang berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi.
14 Mereka membongkar semua mazbah di Yerusalem yang telah digunakan untuk mempersembahkan korban dan membakar kemenyan kepada dewa-dewa lalu membuang semuanya ke dalam Lembah Kidron.