12 Dalam penderitaannya Raja Manasye merendahkan diri, lalu kembali kepada TUHAN, Allahnya, dan berdoa memohon pertolongan-Nya.
13 Allah mengabulkan doa Raja Manasye dan membenarkan baginda kembali ke Yerusalem serta memerintah lagi. Perbuatan Allah itu meyakinkan Raja Manasye bahawa TUHAN itu Allah.
14 Selepas itu Raja Manasye meninggikan tembok luar di sebelah timur Kota Daud, bermula dari lembah dekat Mata Air Gihon, lalu terus ke utara sehingga Pintu Gerbang Ikan dan kawasan dalam kota yang dinamakan Ofel. Baginda juga menugaskan seorang pegawai tentera untuk mengetuai satu pasukan askar di tiap-tiap kota berkubu di Yehuda.
15 Raja Manasye menyingkirkan patung-patung dewa bangsa lain serta berhala telah diletakkannya di Rumah TUHAN. Baginda membongkar mazbah-mazbah dewa yang didirikan di bukit tempat letaknya Rumah TUHAN, dan di tempat-tempat lain di Yerusalem. Baginda membawa semua benda itu ke luar kota, lalu membuang semuanya.
16 Raja Manasye membaiki mazbah tempat beribadat kepada TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban kesyukuran di situ. Baginda memerintah semua penduduk Yehuda supaya beribadat kepada TUHAN, Allah Israel.
17 Walaupun rakyat masih mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan yang lain, tetapi persembahan itu untuk TUHAN.
18 Segala perbuatan Raja Manasye, doa baginda kepada Allahnya, dan perkhabaran-perkhabaran nabi yang disampaikan kepadanya atas nama TUHAN, Allah Israel, telah dicatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel.