6 Baginda mempersembahkan putera-puteranya di Lembah Hinom sebagai korban yang dibakar. Baginda mengamalkan ilmu tilik dan sihir; baginda berhubungan dengan ahli-ahli nujum dan bomoh. Raja Manasye sangat berdosa terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya.
7 Baginda meletakkan sebuah patung di dalam Rumah TUHAN, padahal tentang tempat itulah Allah telah berfirman kepada Raja Daud dan Raja Salomo puteranya demikian, “Rumah-Ku di Yerusalem ini, yang telah Kupilih dari antara dua belas wilayah suku Israel, ialah tempat yang Kutentukan sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya.
8 Jika umat-Ku Israel taat kepada segala perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba-Ku, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari tanah yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka.”
9 Raja Manasye menyebabkan penduduk Yehuda lebih berdosa daripada bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu ketika umat-Nya memasuki negeri itu.
10 Walaupun TUHAN memberikan amaran kepada Raja Manasye dan rakyatnya, namun mereka tidak mahu menghiraukan amaran itu.
11 Oleh itu TUHAN membiarkan panglima-panglima tentera negeri Asyur menyerang Yehuda. Mereka menangkap Raja Manasye dengan kaitan, membelenggu baginda, lalu membawa baginda ke Babel.
12 Dalam penderitaannya Raja Manasye merendahkan diri, lalu kembali kepada TUHAN, Allahnya, dan berdoa memohon pertolongan-Nya.