1 Raja Yosia berumur lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun.
2 Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, dan mentaati seluruh hukum Allah dengan sepenuhnya.
3 Pada tahun kelapan pemerintahan Raja Yosia, ketika baginda masih muda, baginda mula menyembah Allah yang disembah nenek moyangnya, Raja Daud. Empat tahun kemudian, Raja Yosia mula memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, lambang-lambang Dewi Asyera, dan semua berhala lain.
4 Dengan arahan Raja Yosia, anak buahnya merobohkan mazbah-mazbah Baal dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan yang terdapat di situ. Mereka menghancurkan patung-patung Dewi Asyera dan semua berhala lain, lalu menghamburkan debunya di atas kubur-kubur orang yang menyembah berhala-berhala itu.
5 Kemudian di atas mazbah itu Raja Yosia membakar tulang imam-imam yang menyembah berhala-berhala itu. Dengan demikian baginda menjadikan Yehuda dan Yerusalem suci semula.
6 Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara.
7 Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem.