6 Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara.
7 Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem.
8 Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, selepas baginda menyucikan negeri itu dan Rumah TUHAN dengan menghentikan segala penyembahan berhala, baginda menyuruh tiga orang pegawainya untuk membaiki Rumah TUHAN Allah. Para pegawai itu ialah Safan anak Azalya, Manasye gabenor Yerusalem, dan Yoah anak Yoahas, seorang pegawai tinggi.
9 Wang yang telah dikumpul oleh orang Lewi di Rumah TUHAN, diserahkan kepada Imam Agung Hilkia. Wang itu diterima daripada penduduk Efraim, Manasye, dan bahagian lain di Kerajaan Utara, dan juga daripada penduduk Yehuda, Benyamin, dan Yerusalem.
10 Wang itu diberikan kepada tiga orang yang telah ditugaskan untuk mengawasi pembaikan Rumah TUHAN. Kemudian mereka memberikan wang itu
11 kepada tukang kayu dan pekerja-pekerja yang harus membeli batu dan kayu, untuk membaiki bangunan-bangunan yang telah dibiarkan rosak oleh raja-raja Yehuda.
12 Semua pekerja itu sangat jujur. Mereka diawasi oleh empat orang Lewi, iaitu Yahat dan Obaja daripada puak Merari, dan Zakharia serta Mesulam daripada puak Kehat. Orang Lewi semuanya pemuzik yang mahir.