21 tetapi Raja Nekho mengirim berita ini kepadanya, “Perang ini tidak berkaitan dengan tuanku, raja Yehuda. Beta datang bukan untuk melawan tuanku, tetapi melawan musuh beta sendiri. Allah telah menyuruh beta bertindak dengan cepat. Dia sendiri memihak beta, oleh itu jangan lawan beta. Jika tuanku melawan beta, Allah akan memusnahkan tuanku.”
22 Tetapi Raja Yosia berkeras untuk pergi berperang. Baginda tidak menghiraukan firman Allah melalui Raja Nekho. Raja Yosia menyamar lalu bertempur di dataran rendah Megido.
23 Dalam pertempuran itu, Raja Yosia dipanah oleh askar Mesir. Lalu baginda bertitah kepada hamba-hambanya, “Beta cedera parah! Bawalah beta keluar dari sini.”
24 Mereka memindahkan Raja Yosia dari kereta kudanya ke kereta kuda yang lain, lalu membawanya ke Yerusalem. Raja Yosia mangkat di Yerusalem lalu dimakamkan di makam diraja. Semua penduduk Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana kemangkatan baginda.
25 Nabi Yeremia mengarang sebuah lagu ratapan bagi Raja Yosia. Di Israel sampai sekarang, lagu itu dinyanyikan oleh para penyanyi, baik lelaki mahupun perempuan, dalam peringatan perkabungan untuk Raja Yosia. Lagu itu dimasukkan dalam kumpulan lagu ratapan.
26 Semua perbuatan Raja Yosia, baik kasihnya kepada TUHAN, ketaatannya kepada Taurat
27 mahupun sejarah hidupnya dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda.