2 Tawarikh 35:3-9 BM

3 Orang Lewi, iaitu guru-guru Israel yang telah dikhaskan untuk TUHAN, mendapat perintah ini daripada Raja Yosia, “Letakkanlah Tabut Perjanjian yang suci itu di Rumah TUHAN, yang dibina Raja Salomo putera Raja Daud. Tidak usah lagi kamu membawanya dari tempat ke tempat, tetapi hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN, Allah kamu dan umat-Nya Israel.

4 Jalankanlah kewajipan kamu di Rumah TUHAN, menurut puak kamu dan tugas yang telah diberikan Raja Daud dan puteranya Raja Salomo.

5 Aturlah puak kamu supaya kamu dapat menolong tiap-tiap keluarga orang Israel.

6 Kamulah yang harus menyembelih domba dan kambing untuk Perayaan Paska. Oleh itu sucikanlah diri kamu dan sediakanlah korban-korban itu, supaya sesama kamu umat Israel dapat melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN melalui Musa.”

7 Raja Yosia menyumbangkan 30,000 ekor domba, anak domba, dan anak kambing, serta 3,000 ekor lembu jantan daripada ternakan baginda sendiri, kepada rakyat yang hadir di situ supaya mereka dapat mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska.

8 Pegawai-pegawai Yosia juga memberikan sumbangan kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Pegawai-pegawai yang bertugas di Rumah TUHAN, iaitu Imam Agung Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor anak domba dan anak kambing, serta 300 ekor lembu jantan, kepada para imam untuk dipersembahkan pada masa perayaan itu.

9 Pemimpin-pemimpin orang Lewi, iaitu Konanya, Semaya dan Netaneel saudaranya, Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor anak domba dan anak kambing, serta 500 ekor lembu jantan, kepada orang Lewi untuk dipersembahkan pada perayaan itu.