8 Pegawai-pegawai Yosia juga memberikan sumbangan kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Pegawai-pegawai yang bertugas di Rumah TUHAN, iaitu Imam Agung Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor anak domba dan anak kambing, serta 300 ekor lembu jantan, kepada para imam untuk dipersembahkan pada masa perayaan itu.
9 Pemimpin-pemimpin orang Lewi, iaitu Konanya, Semaya dan Netaneel saudaranya, Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor anak domba dan anak kambing, serta 500 ekor lembu jantan, kepada orang Lewi untuk dipersembahkan pada perayaan itu.
10 Apabila semuanya telah disiapkan untuk perayaan Paska, para imam, dan orang Lewi mengambil tempat masing-masing seperti yang diperintahkan oleh raja.
11 Selepas kambing dan domba disembelih, orang Lewi menguliti semuanya; kemudian para imam memercikkan darah binatang itu di atas mazbah.
12 Mereka membahagikan binatang-binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada tiap-tiap kumpulan keluarga, supaya mereka dapat mempersembahkannya menurut peraturan Taurat Musa.
13 Orang Lewi memanggang korban-korban untuk Perayaan Paska di atas api, menurut peraturan, dan merebus korban-korban khas di dalam kuali, periuk, dan belanga, lalu dengan segera dagingnya dibahagi-bahagikan kepada rakyat.
14 Selepas itu barulah orang Lewi membahagikan daging untuk mereka sendiri dan imam-imam keturunan Harun, kerana sampai malam para imam sibuk membakar binatang-binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan membakar lemak daripada korban-korban itu.