1 Selepas Raja Salomo berdoa, api turun dari langit dan membakar korban-korban yang dipersembahkan, lalu cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN.
2 Oleh sebab Rumah TUHAN penuh dengan cahaya hadirat TUHAN, maka para imam tidak dapat masuk ke dalamnya.
3 Apabila umat Israel nampak api turun dari langit dan cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN, mereka bersujud di lantai lalu menyembah Allah. Mereka memuji Dia bagi kebaikan-Nya dan kasih-Nya yang kekal.
4 Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat mempersembahkan korban kepada TUHAN.
5 Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap umat mentahbiskan Rumah TUHAN.
6 Para imam berdiri di tempat yang ditetapkan bagi mereka, dan orang Lewi berdiri berhadapan dengan mereka. Orang Lewi memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh Raja Daud, sambil menyanyikan lagu “Kasih-Nya Kekal Abadi!” menurut arahan Raja Daud. Para imam meniup trompet sementara segenap rakyat berdiri.