1 Selepas Raja Salomo berdoa, api turun dari langit dan membakar korban-korban yang dipersembahkan, lalu cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN.
2 Oleh sebab Rumah TUHAN penuh dengan cahaya hadirat TUHAN, maka para imam tidak dapat masuk ke dalamnya.
3 Apabila umat Israel nampak api turun dari langit dan cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN, mereka bersujud di lantai lalu menyembah Allah. Mereka memuji Dia bagi kebaikan-Nya dan kasih-Nya yang kekal.
4 Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat mempersembahkan korban kepada TUHAN.
5 Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap umat mentahbiskan Rumah TUHAN.
6 Para imam berdiri di tempat yang ditetapkan bagi mereka, dan orang Lewi berdiri berhadapan dengan mereka. Orang Lewi memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh Raja Daud, sambil menyanyikan lagu “Kasih-Nya Kekal Abadi!” menurut arahan Raja Daud. Para imam meniup trompet sementara segenap rakyat berdiri.
7 Raja Salomo mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu di kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban bijirin, dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibuatnya terlalu kecil untuk semua korban itu.