2 Tawarikh 7:6-12 BM

6 Para imam berdiri di tempat yang ditetapkan bagi mereka, dan orang Lewi berdiri berhadapan dengan mereka. Orang Lewi memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh Raja Daud, sambil menyanyikan lagu “Kasih-Nya Kekal Abadi!” menurut arahan Raja Daud. Para imam meniup trompet sementara segenap rakyat berdiri.

7 Raja Salomo mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu di kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban bijirin, dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibuatnya terlalu kecil untuk semua korban itu.

8 Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka datang dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan.

9 Mereka berkumpul selama tujuh hari untuk merayakan pentahbisan mazbah, lalu mereka merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari lagi. Pada hari yang terakhir mereka mengadakan perayaan penutupan.

10 Pada keesokannya, hari kedua puluh tiga bulan ketujuh, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka semua bersukacita kerana berkat-berkat yang telah diberikan TUHAN kepada umat-Nya Israel, kepada Raja Daud, dan Raja Salomo.

11 Apabila Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN dan istana, serta segala yang dirancangkannya,

12 TUHAN menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo pada malam hari. Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Aku telah mendengar doamu, dan Aku menerima Rumah ini sebagai tempat khas untuk mempersembahkan korban kepada-Ku.