10 Anak buah Raja Hiram dan anak buah Raja Salomo yang membawa emas dari Ofir juga membawa kayu cendana dan batu permata.
11 Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat tangga bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi serta gambus bagi para pemuzik. Belum pernah barang-barang seperti itu dilihat di negeri Yehuda.)
12 Raja Salomo memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Pemberian itu ialah tambahan kepada apa yang telah diberikannya untuk membalas hadiah ratu itu. Selepas itu ratu Syeba dan pengiring-pengiringnya pulang ke negeri Syeba.
13-14 Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, tiap-tiap tahun Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas. Raja-raja negeri Arab dan gabenor-gabenor di wilayah Israel juga memberikan perak dan emas kepadanya.
15 Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 7 kilogram.
16 Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 3 kilogram. Baginda meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.
17 Raja Salomo juga membuat sebuah takhta besar daripada gading yang dilapis dengan emas tulen.