12 Raja Salomo memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Pemberian itu ialah tambahan kepada apa yang telah diberikannya untuk membalas hadiah ratu itu. Selepas itu ratu Syeba dan pengiring-pengiringnya pulang ke negeri Syeba.
13-14 Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, tiap-tiap tahun Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas. Raja-raja negeri Arab dan gabenor-gabenor di wilayah Israel juga memberikan perak dan emas kepadanya.
15 Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 7 kilogram.
16 Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 3 kilogram. Baginda meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.
17 Raja Salomo juga membuat sebuah takhta besar daripada gading yang dilapis dengan emas tulen.
18 Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan di bawahnya ada sebuah alas kaki yang juga dilapisi emas. Takhta itu mempunyai lengan dan pada setiap sisinya ada patung singa.
19 Pada anak tangga takhta itu, ada dua belas patung singa; satu patung singa pada hujung kiri dan satu lagi pada hujung kanan setiap anak tangga. Tidak ada kerajaan mana pun yang pernah mempunyai takhta seperti itu.