2 Tawarikh 9:3-9 BM

3 Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo.

4 Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan dan pakaian para pelayan yang melayani Raja Salomo ketika ada pesta; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona.

5 Ratu itu bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku!

6 Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku lebih besar daripada apa yang telah diberitakan kepada beta.

7 Berbahagialah para pegawai yang sentiasa melayani tuanku, yang berpeluang mendengar ucapan-ucapan tuanku yang bijak!

8 Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja untuk memerintah atas nama-Nya. Oleh sebab Dia mengasihi umat-Nya Israel dan mahu memelihara mereka selama-lamanya, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka, supaya tuanku dapat menegakkan hukum dan keadilan.”

9 Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Tidak pernah lagi Raja Salomo menerima rempah-rempah yang begitu baik mutunya seperti yang diberikan oleh ratu negeri Syeba.(