Amsal 7 BM

1 Hai anakku, ingatlah nasihatku, dan jangan lupa akan perintahku.

2 Turutilah perintahku, maka kamu akan hidup. Berhati-hatilah menurut ajaranku sebagaimana kamu berhati-hati menjaga matamu.

3 Peganglah ajaranku setiap masa dan simpanlah dalam hatimu.

4 Perlakukanlah hikmat seperti saudaramu, dan pengertian seperti sahabat karibmu.

5 Hikmat dan pengertian akan menjauhkan dirimu daripada isteri orang lain, dan daripada perempuan yang memikat dengan kata-kata manis.

Perempuan Jalang

6 Pada suatu hari aku memandang dari tingkap rumahku,

7 dan aku nampak banyak pemuda yang kurang pengalaman, tetapi khasnya aku memperhatikan seorang yang bodoh antara mereka.

8 Dia sedang lalu di selekoh jalan, dekat rumah seorang perempuan. Dia lalu dekat rumah perempuan itu

9 pada petang hari, ketika sudah mulai gelap.

10 Perempuan itu menemui dia. Perempuan itu berpakaian seperti seorang pelacur dan sedang membuat rancangan.

11 Dia lancang dan tidak tahu malu. Dia sentiasa mundar-mandir di jalan,

12 atau menunggu di selekoh jalan; ada kalanya di jalan raya, ada kalanya pula di pasar.

13 Dia memeluk pemuda itu dan menciumnya. Tanpa malu-malu, perempuan itu berkata,

14 “Aku telah mempersembahkan korban hari ini, dan sekarang aku mempunyai lebihan makanan daripada korban itu.

15 Oleh itu, aku keluar mencari engkau, dan sekarang aku menemui engkau.

16 Aku sudah memasang cadar linen beraneka warna buatan Mesir, pada tempat tidurku.

17 Aku sudah mengharumkannya dengan mur, gaharu, dan kayu manis.

18 Marilah kita bercumbuan dan menikmati asmara sepanjang malam.

19 Suamiku tiada di rumah. Dia telah pergi ke tempat jauh

20 dan membawa banyak wang. Dia tidak akan pulang selama dua minggu.”

21 Demikianlah perempuan itu menggoda pemuda itu dengan pujukan-pujukan yang memikat sehingga tergodalah pemuda itu.

22 Tanpa berfikir, dia mengikut perempuan itu; pemuda itu seperti lembu yang akan disembelih dan seperti rusa yang melompat ke dalam perangkap;

23 sebentar lagi anak panah akan menembusi jantungnya. Pemuda itu seperti burung yang terbang menuju perangkap. Dia tidak sedar bahawa nyawanya terancam.

24 Oleh itu, hai anak-anak, dengarkanlah aku dan perhatikanlah nasihatku.

25 Jangan biarkan perempuan seperti itu memikat hati kamu. Jangan pergi mencari dia,

26 kerana dia telah menghancurkan kehidupan banyak lelaki, dan yang binasa pun tidak terbilang banyaknya.

27 Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke dunia orang mati. Itulah jalan pintas menuju maut.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31