Amsal 9 BM

Hikmat dan Kebodohan

1 Hikmat telah membina rumahnya, dan mendirikan tujuh batang tiang bagi rumah itu.

2 Ia telah menyembelih ternakan untuk jamuan, mencampur wain dengan rempah, serta menyediakan hidangan.

3 Ia menyuruh pelayan perempuannya berseru dari tempat yang tertinggi di kota,

4 “Marilah, hai orang yang kurang pengalaman. Silalah ke mari!” Kepada orang yang bodoh ia berkata,

5 “Marilah makan makananku dan minum wain yang telah kusediakan.

6 Tinggalkanlah kebodohan supaya kamu hidup bahagia. Ikutilah teladan orang berpengertian.”

7 Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera.

8 Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu. Tetapi jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu.

9 Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana. Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Allah akan menambah pengetahuan orang itu.

10 Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Jika kamu kenal akan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian.

11 Hikmat akan menambah usia kamu.

12 Kamu sendiri yang akan beruntung jika kamu mempunyai hikmat. Tetapi jika kamu menolak hikmat, kamu sendiri juga yang akan rugi.

13 Kebodohan bagaikan perempuan yang lancang, bebal, dan tidak tahu malu.

14 Ia duduk di depan pintu rumahnya atau di tempat duduk di kawasan tertinggi di kota,

15 lalu berseru kepada orang yang sedang lalu di situ,

16 “Masuklah ke rumahku, hai kamu yang kurang pengalaman!” Kepada orang bodoh ia berkata,

17 “Minuman yang dicuri lebih manis, dan makan dengan sembunyi-sembunyi lebih enak.”

18 Mangsanya tidak tahu bahawa orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati dan mereka yang telah masuk ke dalam rumahnya, sekarang di dunia orang mati.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31