1 Pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar, raja Babilonia menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu.
2 Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel. Baginda menyimpan barang-barang berharga itu di dalam gudang-gudang kuil.
3 Raja Nebukadnezar memerintah Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk memilih beberapa orang pemuda dari kalangan orang Israel yang dalam pembuangan. Para pemuda itu harus daripada keturunan raja atau berdarah bangsawan.
4 Mereka harus kacak, berpendidikan tinggi, cerdas, dan berpengetahuan luas serta tidak cacat, supaya mereka dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas diperintah supaya mengajar mereka membaca dan menulis bahasa Babilonia.
5 Raja juga memberikan perintah agar setiap hari mereka diberikan makanan dan wain sama seperti yang diberikan kepada anggota keluarga diraja. Selepas latihan selama tiga tahun, mereka akan dihadapkan kepada raja.
6 Antara mereka yang terpilih ialah Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, semuanya daripada suku Yehuda.
7 Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.
8 Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya dengan makanan dan wain yang ditetapkan oleh raja. Oleh itu dia meminta pertolongan Aspenas,
9 dan Allah menyebabkan Aspenas mengasihani dan menyayangi Daniel.
10 Tetapi Aspenas berkata kepada Daniel, “Aku takut kepada tuanku raja. Baginda telah menetapkan makanan dan minuman kamu. Jika kamu tidak kelihatan sihat seperti pemuda lain, raja akan membunuh aku.”
11 Kemudian Daniel berkata kepada pengawas yang ditugaskan oleh Aspenas untuk menjaga dia dan tiga orang kawannya,
12 “Ujilah kami selama sepuluh hari. Berilah kami sayur dan air sahaja untuk makanan dan minuman.
13 Selepas sepuluh hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa pemuda lain, yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. Kemudian buatlah keputusan berdasarkan pengamatanmu.”
14 Pengawas itu bersetuju dan membenarkan mereka mengadakan percubaan selama sepuluh hari.
15 Selepas sepuluh hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja.
16 Sejak hari itu pengawas itu membenarkan mereka terus makan sayur-sayuran, dan tidak makan makanan atau minum wain yang ditetapkan oleh raja.
17 Allah memberi empat orang pemuda itu pengetahuan dan kepakaran dalam kesusasteraan dan falsafah. Tambahan pula, Dia memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan penglihatan dan mimpi.
18 Pada akhir tiga tahun masa latihan yang ditentukan oleh raja itu, Aspenas menghadapkan semua pemuda itu kepada Raja Nebukadnezar.
19 Raja menemuramah mereka dan mendapati Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya melebihi pemuda-pemuda lain dalam segala bidang. Oleh itu mereka dilantik untuk berkhidmat di istana raja.
20 Setiap kali raja mengemukakan persoalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan dan tanggapan keempat-empat orang pemuda itu sepuluh kali lebih baik daripada jawapan dan tanggapan semua penilik dan ahli sihir di seluruh kerajaan baginda.
21 Daniel terus berkhidmat di istana itu sehingga Raja Kores dari Persia, mula memerintah.