1 Raja Nebukadnezar mengirim pengumuman berikut kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di seluruh dunia:“Salam!
2 Dengarlah cerita beta tentang keajaiban dan mukjizat yang telah dinyatakan kepada beta oleh Allah Yang Maha Tinggi!
3 Alangkah besarnya keajaiban yang dinyatakan Allah!Alangkah hebatnya mukjizat yang dilakukan-Nya!Allah adalah raja selama-lamanya;Dia memerintah sepanjang masa.
4 Beta hidup selesa di istana beta, dan menikmati kemewahan.
5 Tetapi pada suatu hari ketika beta beradu, beta bermimpi dan mendapat penglihatan yang mengerikan.
6 Beta memerintahkan semua penasihat di Babel supaya datang menghadap dan mentafsirkan mimpi beta itu.
7 Semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum dibawa menghadap. Beta menceritakan mimpi beta, tetapi mereka tidak dapat mentafsirkannya.
8 Kemudian Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltsazar, menurut nama dewa beta. Daniel memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, maka beta menceritakan mimpi beta kepadanya. Beta bertitah:
9 Hai Beltsazar, ketua orang berilmu, beta tahu bahawa roh dewa-dewa yang suci ada padamu, dan kamu faham segala rahsia yang dalam. Inilah mimpi beta. Berikanlah tafsirannya.
10 Ketika beta beradu, beta nampak sebatang pokok yang besar di tengah-tengah bumi.
11 Pokok itu bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya sampai ke langit dan dapat dilihat oleh setiap orang di dunia.
12 Daun-daunnya segar dan buahnya lebat sekali - cukup untuk dimakan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya; burung membuat sarang di dahannya, dan semua makhluk hidup makan buah-buahnya.
13 Sedang beta memikirkan penglihatan itu, beta nampak satu malaikat turun dari syurga. Malaikat itu siap sedia dan berwaspada.
14 Dia berkata dengan suara yang lantang, ‘Tebanglah pokok itu, dan potonglah dahan-dahannya. Gugurkanlah daunnya dan taburkanlah buah-buahnya. Usirlah binatang di bawahnya dan burung yang bersarang di dahannya.
15 Tetapi tinggalkanlah tunggulnya di tanah, dan ikatlah dengan rantai besi dan gangsa. Tinggalkanlah tunggul itu di padang rumput.Biarlah lelaki itu kena embun dan biarlah dia tinggal bersama-sama binatang dan tumbuh-tumbuhan lain.
16 Selama tujuh tahun akal manusianya akan berubah menjadi seperti akal binatang.
17 Itulah keputusan malaikat-malaikat yang bijak dan berwaspada. Oleh itu, hendaklah orang di mana-mana mengetahui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, malah kepada orang yang tidak penting sekalipun.’
18 Itulah mimpi beta. Hai Beltsazar, berikanlah tafsirannya sekarang. Tiada seorang penasihat beta pun dapat mentafsirkannya, tetapi kamu dapat kerana kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci.”
19 Daniel, yang juga dinamakan Beltsazar, begitu terkejut untuk seketika sehingga tidak dapat berkata-kata. Tetapi raja bertitah, “Hai Beltsazar, janganlah berasa cemas kerana mimpi itu dan tafsirannya.”Beltsazar menjawab, “Tuanku, sesungguhnya hamba berharap mimpi itu serta tafsirannya tentang musuh tuanku, dan bukan tentang tuanku.
20 Pokok itu amat tinggi dan memuncak ke langit, sehingga dapat dilihat oleh setiap orang di bumi.
21 Daunnya segar dan buahnya lebat sehingga cukup bagi makanan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya dan burung membuat sarang di dahannya.
22 Ya tuanku, tuankulah pokok yang tinggi dan kuat itu. Kebesaran tuanku bertambah sehingga memuncak ke langit, dan kekuasaan tuanku meluas ke seluruh bumi.
23 Ketika tuanku sedang memandang, satu malaikat turun dari syurga dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan musnahkannya, tetapi biarkan tunggulnya di tanah. Ikatlah tunggul itu dengan rantai besi dan gangsa, lalu tinggalkan tunggul itu bersama-sama rumput di padang. Biarlah orang itu kena embun, dan biarlah dia tinggal di situ bersama-sama binatang selama tujuh tahun.’
24 Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku.
25 Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
26 Perintah yang diberikan supaya tunggul itu ditinggalkan di tanah bermakna tuanku akan menjadi raja lagi setelah tuanku mengakui bahawa Allah menguasai seluruh dunia.
27 Oleh itu, hai tuanku, turutlah nasihat hamba. Janganlah berdosa lagi. Lakukanlah apa yang baik dan adil, dan kasihanilah orang yang ditindas. Dengan demikian tuanku akan tetap makmur.”
28 Semua perkara itu berlaku kepada Raja Nebukadnezar.
29 Dua belas bulan kemudian, semasa raja berjalan di bumbung istananya di Babel,
30 raja bertitah, “Lihatlah, betapa megahnya kota Babel! Beta telah membinanya sebagai ibu kota beta untuk membuktikan kuasa dan kebesaran beta, kemuliaan serta keagungan beta.”
31 Tetapi sebelum raja habis bertitah, terdengar suara berucap dari langit, “Raja Nebukadnezar, dengarlah kata-kata ini! Sekarang kekuasaanmu sebagai raja diambil daripadamu.
32 Kamu akan diusir daripada masyarakat, lalu tinggal di tengah-tengah binatang buas. Kamu akan makan rumput seperti lembu selama tujuh tahun. Barulah kamu akan mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”
33 Kata-kata itu menjadi kenyataan dengan serta-merta. Raja Nebukadnezar diusir daripada masyarakat dan makan rumput seperti lembu. Badannya dibasahi embun, rambutnya menjadi panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya pula menjadi panjang seperti cakar burung.
34 Raja bertitah, “Selepas tujuh tahun itu beta memandang ke langit. Tiba-tiba fikiran beta waras semula. Beta memuji Allah Yang Maha Tinggi sambil menghormati dan memuliakan Dia yang hidup selama-lamanya.Allah akan memerintah selama-lamanya,kerajaan-Nya akan tetap sepanjang masa.
35 Manusia di dunia tidak bererti bagi-Nya;malaikat di syurga dan manusia di bumi,semua di bawah kuasa-Nya.Tiada sesiapa dapat menentang kehendak-Nya,ataupun menyoal perbuatan-Nya.
36 Apabila beta menjadi waras semula, kebesaran dan keagungan beta, serta kemasyhuran kerajaan beta dikembalikan kepada beta. Para pegawai dan pembesar beta menyambut beta, dan kekuasaan beta sebagai raja dikembalikan kepada beta, dan keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu.
37 Sekarang beta, Nebukadnezar, memuji, menghormati, dan memuliakan Raja penguasa di syurga. Segala perbuatan-Nya benar dan adil. Dia sanggup merendahkan sesiapa yang berlaku sombong.”