Daniel 9 BM

Daniel Berdoa untuk Bangsanya

1 Raja Darius orang Media, putera Raja Ahasyweros, menjadi raja kerajaan Babilonia.

2 Pada tahun pertama pemerintahannya, aku mengkaji kitab-kitab suci. Aku merenungkan hal kota Yerusalem yang akan menjadi reruntuhan selama tujuh puluh tahun, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Nabi Yeremia.

3 Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu.

4 Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya.Aku berkata, “Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu.

5 Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu.

6 Kami tidak mendengarkan nabi-nabi, hamba-hamba-Mu, yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja, penguasa, dan nenek moyang kami, serta seluruh bangsa kami.

7 Engkau, ya Tuhan selalu berbuat yang benar, sedangkan kami selalu mendatangkan malu kepada kami sendiri. Demikian juga semua bangsa kami yang tinggal di Yehuda, Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan di negeri-negeri dekat dan jauh kerana mereka tidak setia kepada-Mu.

8 Raja-raja kami, penguasa-penguasa kami dan nenek moyang kami telah melakukan hal yang memalukan serta berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan.

9 Engkau penuh belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu.

10 Kami tidak mendengarkan Engkau, ya TUHAN, Allah kami, ketika Engkau menyuruh kami hidup menurut hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui para nabi, hamba-hamba-Mu.

11 Semua umat Israel telah melanggar hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan Engkau. Kami telah berdosa terhadap-Mu. Kami berdosa terhadap Engkau, oleh itu Engkau menghukum kami dengan kutukan yang tertulis dalam Taurat Musa, hamba-Mu itu.

12 Engkau telah melaksanakan ancaman-Mu terhadap kami dan penguasa-penguasa kami. Engkau menghukum Yerusalem lebih dahsyat daripada kota-kota lain di dunia.

13 Engkau menghukum kami menurut semua yang tertulis dalam Taurat Musa. Bahkan sekarang pun, ya TUHAN, Allah kami, kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati-Mu. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami atau menurut ajaran-Mu yang benar.

14 Engkau bersedia menghukum kami, ya TUHAN, Allah kami, dan Engkau sudah pun menghukum kami. Apa yang Engkau lakukan memang adil kerana kami tidak mendengarkan Engkau.

15 Engkau telah menunjukkan kuasa-Mu ketika Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir, ya Tuhan, Allah kami. Kami masih ingat akan kuasa-Mu itu. Kami telah berdosa dan berbuat kesalahan.

16 Engkau telah membela kami pada masa dahulu. Oleh itu janganlah murka lagi terhadap Yerusalem. Kota ini kota-Mu, bukit-Mu yang suci. Semua orang dari negeri-negeri jiran menghina Yerusalem dan umat-Mu, kerana dosa kami dan kejahatan yang dilakukan nenek moyang kami.

17 Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan.

18 Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami.

19 Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.”

Gabriel Mentafsirkan Nubuat

20 Aku terus berdoa, dan mengaku dosaku serta dosa bangsaku Israel. Aku juga memohon kepada TUHAN, Allahku untuk memulihkan Rumah-Nya yang suci.

21 Semasa aku berdoa, Gabriel yang aku nampak dalam penglihatanku yang dahulu itu, terbang ke arahku. Masa itu waktu yang ditetapkan untuk mempersembahkan korban petang.

22 Gabriel menerangkan, “Hai Daniel, aku datang untuk menolong engkau memahami nubuat itu.

23 Apabila engkau mula memohon kepada Allah, Dia menjawab permohonanmu. Aku datang menyampaikan jawapan itu kerana Dia sangat mengasihi engkau. Oleh itu dengarlah baik-baik sementara aku menerangkan makna penglihatan itu.

24 Tujuh kali tujuh puluh tahun ialah jangka masa yang telah ditentukan Allah untuk membebaskan bangsamu dan kotamu yang suci itu daripada dosa dan kejahatan. Dosa akan diampunkan dan keadilan yang kekal akan ditegakkan, agar penglihatan dan nubuat itu menjadi kenyataan, dan agar Rumah TUHAN yang suci ditahbiskan semula.

25 Perhatikanlah dan fahamilah hal ini: Dari saat perintah dikeluarkan untuk membina semula Yerusalem, hingga kedatangan pemimpin yang dipilih oleh Allah, jangka masanya ialah tujuh kali tujuh tahun. Yerusalem akan dibina semula dengan jalan-jalan raya dan pertahanan yang kuat, dan akan bertahan selama tujuh kali enam puluh dua tahun, tetapi masa itu penuh kesusahan.

26 Pada akhir jangka masa itu, pemimpin yang dipilih oleh Allah itu akan dibunuh walaupun dia tidak bersalah. Kota Yerusalem dan Rumah TUHAN akan dimusnahkan oleh pasukan tentera seorang raja yang berkuasa. Akhir jangka masa itu akan tiba seperti banjir yang membawa peperangan dan kemusnahan yang telah ditentukan oleh Allah.

27 Raja itu akan membuat perjanjian yang kukuh dengan banyak orang selama tujuh tahun. Pada pertengahan jangka masa itu, raja itu akan menghentikan segala korban dan persembahan. Kemudian sesuatu yang disebut ‘Bencana Yang Dahsyat’ akan diletakkan di Rumah TUHAN, dan tetap di situ sehingga orang yang meletakkannya menemui kebinasaan yang telah ditentukan oleh Allah baginya.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12