1 Dialah yang bertanggungjawab untuk menolong dan membela aku.
2 Semua yang aku katakan ini benar.”Malaikat itu berkata, “Tiga orang raja lagi akan memerintah Persia, diikuti oleh raja keempat yang akan menjadi lebih kaya daripada semuanya. Pada kemuncak kekuasaan dan kekayaannya, dia akan mencabar kerajaan Yunani.
3 Kemudian seorang raja yang perkasa akan muncul. Dia akan memerintah sebuah kerajaan yang besar dan berbuat sesuka hatinya.
4 Tetapi pada kemuncak kekuasaannya, kerajaannya akan pecah dan terbahagi empat. Raja-raja yang bukan keturunannya akan menggantikan dia sebagai raja, tetapi mereka tidak sekuat dia.
5 Raja Mesir akan menjadi kuat. Tetapi salah seorang panglimanya akan menjadi lebih kuat, dan akan memerintah kerajaan yang lebih besar.
6 Selepas beberapa tahun, raja Mesir akan mengikat perjanjian untuk bersekutu dengan raja Siria, dan mengahwinkan puterinya dengan raja itu. Tetapi perjanjian untuk bersekutu itu tidak kekal. Puteri itu, suaminya, anaknya, dan hamba-hamba yang mengikutnya akan dibunuh semuanya.
7 Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka.