21 Malaikat itu melanjutkan penerangannya, “Raja Siria yang berikut adalah orang yang jahat. Dia tidak berhak menjadi raja, tetapi dia akan datang dengan tiba-tiba dan merampas kuasa dengan tipu daya.
22 Tentera yang melawannya, bahkan Imam Agung pun akan dihapuskan dan dibinasakan.
23 Dengan menandatangani banyak perjanjian, dia akan menipu bangsa-bangsa dan menjadi semakin kuat, walaupun dia hanya memerintah sebuah kerajaan yang kecil.
24 Dia akan menyerang sebuah wilayah yang kaya dan subur tanpa memberikan amaran dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Kemudian kepada pengikut-pengikutnya, dia akan membahagi-bahagikan barang rampasan dan kekayaan yang diperolehnya dalam peperangan. Dia akan membuat rancangan untuk menyerang kota-kota yang berkubu, tetapi waktunya segera akan habis.
25 Dengan berani dia akan membentuk pasukan tentera yang besar untuk menyerang raja Mesir, yang telah bersedia melawan dengan angkatan perangnya yang besar dan kuat. Tetapi raja Mesir akan tertipu dan tidak berjaya.
26 Para penasihat raja Mesir yang paling rapat dengannya akan menjatuhkan dia. Banyak askarnya akan terbunuh dan tenteranya dihapuskan.
27 Kemudian dua orang raja itu akan duduk dan makan bersama-sama pada satu meja, tetapi niat mereka jahat. Mereka akan menipu satu sama lain, tetapi mereka tidak akan berjaya kerana masa mereka belum sampai.